Friday, January 17, 2014

Laporkan Rasuah



Kaedah Menyalurkan Maklumat Rasuah.
  1. Datang ke Pejabat SPRM terdekat. Lihat senarai pejabat SPRM.
     
  2. Melalui Sistem Pengurusan Maklumat atau “Complaint Management System”.  Login dan hantar maklumat melalui borang yang ringkas. Klik untuk ke Sistem
     
  3. Menulis E-mel kepada maklumat kepada : info@sprm.gov.my.
     
  4. Menulis surat ke alamat pejabat Ibu Pejabat SPRM atau mana-mana Pejabat SPRM  Lihat senarai alamat pejabat SPRM.
     
  5. Anda juga boleh menghantar faks ke talian 03-8889 4329.
     
  6. Melalui talian bebas tol 1-800-88-6000 Atau talian tetap 03-88867000 / 7545 / 7546
     
  7. Hantarkan SMS ke talian 019-6000696.

     
Panduan memberi maklumat yang berkualiti
  1. Memastikan maklumat yang diberikan adalah dibawah bidang kuasa SPRM. SPRM hanya boleh bertindak ke atas maklumat yang dibawah bidang kuasa SPRM. Ketahui lanjut bidang kuasa SPRM.
     
  2. Memberikan maklumat yang menjurus dan tidak terlalu umum. Kumpulkan maklumat dan sampaikan isi penting seperti:
    • Bila kejadian berlaku (When)
    • Dimana kesalahan dilakukan (Where)
    • Siapa yang terlibat dan yang boleh membantu (Who)
    • Apa kesalahan yang dilakukan (What)
    • Kenapa kesalahan dilakukan (Why)
    • Bagaimana transaksi rasuah tersebut dilakukan (How)
       
  3. Sertakan nama dan maklumat perhubungan anda. SPRM menerima maklumat dari pemberi maklumat yang tidak dikenali, tetapi adalah lebih baik sekiranya kami dapat menghubungi semula anda bagi membantu kami bertindak dengan cepat dan lancar. SPRM tidak dapat bertindak ke atas banyak maklumat yang tiada maklumat perhubungan. Anda juga boleh mengetahui status maklumat anda melalui Sistem Pengurusan Aduan sekiranya anda menyertakan nama dan maklumat seperti emel atau nombor telefon mudah alih.
     
  4. Jangan khuatir. Anda dilindungi. Pemberi maklumat akan dilindungi mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Ketahui lanjut mengenai Akta-Akta ini.

Pengurusan Maklumat Rasuah di SPRM
  1. Maklumat akan melalui proses saringan bagi mengenalpasti:
    • Maklumat yang berunsur rasuah atau tidak.
    • Maklumat yang boleh diambil tindakan atau tidak.
    • Orang yang ditohmah boleh dikesan/ dikenalpasti atau tidak
       
  2. Selepas proses saringan, maklumat yang terpilih iaitu yang mencukupi dan di bawah bidang kuasa SPRM akan dibentangkan di dalam Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) bagi menentukan tindakan lanjut. JMM yang  diadakan setiap hari dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM dan dianggotai oleh Pengarah-Pengarah Bahagian tertentu.

Kenapa Memberi Maklumat
  1. Birokrasi, ketidakadilan, kemusnahan dan berbagai lagi kesan buruk rasuah kepada anda, keluarga anda, masyarakat dan negara. Baca artikel berkaitan.
     
  2. Membantu  mengurangkan ketirisan yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat.
     
  3. Setiap orang wajib melaporkan seperti dinyatakan di dalam Akta SPRM 2009. Ketahui lanjut mengenai Akta-Akta ini.


Sumber Petikan Website Rasmi SPRM

Wednesday, January 15, 2014

Anggota Polis Rasuah, Pasukan Khas akan Menyiasat


KUALA LUMPUR - Satu pasukan petugas khas ditubuhkan di Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat beberapa anggota polis yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata pasukan petugas itu, yang ditubuhkan oleh SPRM dan agensi-agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, dipertanggungjawab untuk menyiasat kes itu.

"Setiap kali kami mengendalikan kes berprofil tinggi, kami akan menubuhkan satu pasukan petugas khas. Dan, saya mahu menjelaskan bahawa penyiasatan oleh pasukan petugas khas di Jabatan Peguam Negara melibatkan banyak agensi lain.

"Adalah tidak adil untuk menyatakan hanya SPRM yang berbuat demikian bagi mendapatkan pujian atau sebagainya. Bagi saya, adalah lebih baik memberi kenyataan sewajarnya untuk menjelaskan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Kaji Selidik Penipuan, Sogokan dan Rasuah KPMG 2013 di sini, hari ini.

Abu Kassim berkata dengan penubuhan pasukan petugas khas itu, SPRM berharap dapat memperoleh lebih banyak maklumat berhubung kes itu.

Pada 7 Januari lepas, media melaporkan bahawa aduan seorang anggota polis yang tidak berpuas hati dengan SPRM kira-kira enam bulan lepas, telah membawa kepada penyiasatan terhadap beberapa anggota polis yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

Sementara itu, Abu Kassim enggan mengulas keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy hari ini setelah pihak pendakwaan menarik balik tiga pertuduhannya menipu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Chan menghadapi tiga pertuduhan menipu Abdullah dengan memperdayakannya (Abdullah) untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna bagi menjalankan pembangunan projek hub penghantaraan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 4, Blok Utama di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Chan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Abu Kassim berkata SPRM bersedia membantu semua syarikat yang berpejabat di Malaysia untuk membangunkan program kesedaran serta menyediakan modul pencegahan rasuah dan modul pembangunan kapasiti.

"Dengan rasa besar hati, kami menawarkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai sumber untuk latihan modul atau siri program yang boleh dihasilkan mengikut keperluan sesebuah syarikat," katanya.

Beliau berkata MACA telah mendapat pengiktirafan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC). - Bernama
  

Petikan daripada Sinar Harian

Warga Singapura dipenjara sehari, denda RM10,000

Petikan daripada Sinar Harian

JOHOR BAHRU - Lima warga Singapura masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan anggota polis trafik pada Oktober lepas.
   
Lee Koon Hoe, 58; Neo Eng Huat, 57; R. Isvar, 38, serta dua lagi yang memegang status penduduk tetap Singapura Salunkhe Chetan Vijay, 33, dan Md Mamun Khan, 36, masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
   
Lee yang bekerja sebagai pemandu teksi dituduh memberi rasuah S$50 kepada Pegawai Eksekutif Penguat Kuasa SPAD Asmadi Mat supaya tidak mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
   
Isvar yang bekerja sebagai pemandu van pelancong dituduh memberi suapan wang tunai RM100 kepada Asmadi kerana tidak memiliki permit yang sah daripada SPAD.
   
Lee dan Isvar melakukan kesalahan itu di laluan keluar kenderaan dari Malaysia ke Singapura, di Bangunan Sultan Iskandar di sini.

Pemandu bas persiaran Md Mamun pula dituduh memberi rasuah S$200 kepada Asmadi kerana tidak memiliki lesen pengendali yang sah dan kesalahan dilakukan di tempat yang sama.
   
Neo pula yang bekerja sebagai pengurus pembinaan dituduh memberi rasuah RM50 kepada Konstabel Mohd Ariff Johari Mohd Zulkipli manakala Salunkhe yang bekerja sebagai jurutera mekanikal dituduh memberi suapan RM100 kepada Mohd Ariff.
   
Mereka memberi wang itu sebagai dorongan mengelak daripada disaman kerana memandu melebihi had laju di Km17.7, Lebuhraya Linkedua di sini.
   
Sementara itu di mahkamah yang sama, 11 rakyat tempatan turut dijatuhi hukuman yang sama terhadap pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai RM50 sehingga RM1,000.
   
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.
   
Pendakwaan bagi kesemua kes dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Ridzuan Abdul Malik manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
   
Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara sehari dan didenda RM10,000 dan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu.
   
Mahkamah turut menetapkan kesemua RM5,365 wang rasuah yang disita dilucut hak.  - Bernama


Friday, January 10, 2014

Pingat Darjah Kebesaran bagi Pesalah Rasuah Harus Ditarik balik

Apa yang kita ketahui, pingat darjah kebesaran yang diberikan oleh Raja-raja Melayu dan TYT merupakan satu anugerah khas kepada mana-mana individu yang telah dinilai oleh Majlis Jumaah Diraja Negeri masing-masing atau seantara dengannya merujuk struktur pentadbiran kerajaan negeri.



Diketahui juga kita bahawa, individu-individu yang menerima inilah adalah antara individu yang terbaik bak dari segi sahsiahnya, budi pekerti, jasa baik, dan segalanya mengikut ketetapan kriteria yang telah ditetapkan. Individu yang dianugerahkan pingat seperti ini mempunyai contoh yang baik kepada semua masyarakat. Mana mungkin anugerah pingat darjah kebesaran seperti ini diberikan kepada mereka yang berkelakuan yang tidak baik dan menyalahi undang-undang.

Di sini saya hanya menekan satu cadangan atau pendapat atau suara kerdil yang tidak mungkin didengari oleh pemimpin atasan yang tinggi.

Wajarkah Pingat Darjah Kebesaran yang diterima oleh pesalah laku rasuah ditarik balik? 
Perlu ditarik balik kerana individu terbabit telah melakukan kesalahan besar yang tidak sewajarnya dia melakukannya. Adakah anda semua bersetuju? 



Cuba kita lihat semua kes-kes rasuah yang telah berlaku yang membabitkan individu yang menggunakan gelaran disebabkan Darjah Kebesaran yang diterimanya. Adakah gelaran darjah kebesaran atau pingat mereka ditarik? 

Akan disambung pada siri 2 dengan fakta yang lebih menarik lagi. Untuk permulaan ini saya hanya membuka ruang untuk anda berfikir sejenak tentang perkara ini. Mungkin anda juga mempunyai pendapat yang lebih menarik.

Tumbuk polis tahan kereta

MELAKA: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ditahan awal pagi kelmarin, selepas didakwa menyerang dengan menumbuk muka anggota polis di Bukit Beruang, dekat sini.
Menurut sumber, kejadian berlaku antara jam 2 pagi hingga 3 pagi itu, ketika suspek diarah memberhentikan kereta dipandunya oleh sepasukan anggota polis peronda yang bertugas.
“Arahan penahanan keretanya selepas dia didapati memandu dalam keadaan cuai dan berbahaya.
“Sebaik dihampiri anggota polis, suspek enggan bekerjasama lalu berlaku perbalahan.
“Suspek dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis dan menyerangnya dengan menumbuk mukanya menyebabkan rakan mangsa terpaksa memberi bantuan,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, suspek dibawa ke Balai Polis Ayer Keroh untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penahanan suspek.

Dalam perkembangan sama, sumber SPRM negeri ketika dihubungi turut enggan mengulas berhubung perkara itu dan menegaskan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut.


SPRM Menjawab #42: "Kenapa kes-kes SPRM yang dibicara di Mahkamah didapati akhirnya kalah?"

Pendakwaan ke atas sesuatu kes hanya akan dijalankan sekiranya terdapat keterangan mencukupi di peringkat penyiasatan pada tahap prima facie dan sekurang-kurangya 90% bagi mendapatkan sabitan.

Isu kelemahan atau kecuaian penyiasatan bukanlah penyebab utama yang membawa kepada kekalahan sesuatu kes di Mahkamah. Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan sesuatu kes pendakwaan adalah kenyataan saksi yang bercanggah dengan kenyataan yang diberikan semasa penyiasatan turn hostile dan tempoh perbicaraan yang panjang turut memberi kesan ke atas keterangan yang diberikan oleh saksi semasa perbicaraan.

Tambahan pula dalam kebanyakkan kes rasuah, is melibatkan dua pihak yang berkepentingan di mana si pemberi dan penerima rasuah beroleh keuntungan (victimless crime) berbanding dengan jenayah-jenayah lain yang mana mangsa yang terlibat akan lebih konsisten dalam memberi keterangan mereka.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #49: "Seorang kenamaan (mantan Ketua Menteri) telah dijatuhkan hukuman yang ringan dan tidak setimpal dengan jumlah wang ringgit yang beliau terlibat. Tidakkah SPRM membuka penyiasatan terhadap hakim itu yang mungkin terlibat dengan rasuah"?

Hukuman yang dijatuhkan oleh seseorang hakim sama ada berat atau ringan itu adalah bergantung kepada hakim tersebut. Sekiranya pihak pendakwa tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan, beliau boleh membuat rayuan tentang hukuman tersebut ke Mahkamah Tinggi. SPRM tidak membuat penyiasatan ke atas hakim tersebut memandangkan tiada bukti perlakuan rasuah berlaku semasa membuat hukuman tersebut.

Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM