Wednesday, January 15, 2014

Warga Singapura dipenjara sehari, denda RM10,000

Petikan daripada Sinar Harian

JOHOR BAHRU - Lima warga Singapura masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan anggota polis trafik pada Oktober lepas.
   
Lee Koon Hoe, 58; Neo Eng Huat, 57; R. Isvar, 38, serta dua lagi yang memegang status penduduk tetap Singapura Salunkhe Chetan Vijay, 33, dan Md Mamun Khan, 36, masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
   
Lee yang bekerja sebagai pemandu teksi dituduh memberi rasuah S$50 kepada Pegawai Eksekutif Penguat Kuasa SPAD Asmadi Mat supaya tidak mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
   
Isvar yang bekerja sebagai pemandu van pelancong dituduh memberi suapan wang tunai RM100 kepada Asmadi kerana tidak memiliki permit yang sah daripada SPAD.
   
Lee dan Isvar melakukan kesalahan itu di laluan keluar kenderaan dari Malaysia ke Singapura, di Bangunan Sultan Iskandar di sini.

Pemandu bas persiaran Md Mamun pula dituduh memberi rasuah S$200 kepada Asmadi kerana tidak memiliki lesen pengendali yang sah dan kesalahan dilakukan di tempat yang sama.
   
Neo pula yang bekerja sebagai pengurus pembinaan dituduh memberi rasuah RM50 kepada Konstabel Mohd Ariff Johari Mohd Zulkipli manakala Salunkhe yang bekerja sebagai jurutera mekanikal dituduh memberi suapan RM100 kepada Mohd Ariff.
   
Mereka memberi wang itu sebagai dorongan mengelak daripada disaman kerana memandu melebihi had laju di Km17.7, Lebuhraya Linkedua di sini.
   
Sementara itu di mahkamah yang sama, 11 rakyat tempatan turut dijatuhi hukuman yang sama terhadap pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai RM50 sehingga RM1,000.
   
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.
   
Pendakwaan bagi kesemua kes dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Ridzuan Abdul Malik manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
   
Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara sehari dan didenda RM10,000 dan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu.
   
Mahkamah turut menetapkan kesemua RM5,365 wang rasuah yang disita dilucut hak.  - Bernama


No comments:

Post a Comment